Hadith sahih ialah hadith yang mempunyai sanad yang bersambung, diriwayatkan oleh perawi yang adil lagi dhabit (tepat dalam meriwayatkan hadith sama ada melalui kekuatan ingatan atau ketepatan catatannya), dan terselamat daripada syaz dan kecacatan.
Menurut definisi Ibn ash-Shalah: Abu Amr ibn ash-Shalah mengatakan :
الحديث الصحيح هو المسند الذي يتصل إسناده بنقل العدل الضابط عن العدل الضابط إلى منتهاه ولايكون شاذاولا معللا
-:Ertinya
Hadis Sahih adalah musnad yang sanadnya muttasil melalui periwayatan orang yang adil lagi dhabit (pula) sampai hujungnya, tidak syaz dan tidak mu'all (terkena 'illat)
Syarat hadith sahih
a. Sanadnya bersambung dari awal sehingga akhir, dan wujudnya ikatan ilmu iaitu adanya pertemuan di antara al Lāhiq dengan al Sābiq dan tidak wujud penghalang di antara keduanya daripada bertemu sama ada dari segi masa atau tempat.
b. Perawinya bersifat adil iaitu orang yang dapat menguasai dirinya untuk membiasakan diri dengan taqwa dan menjauhi perkara-perkara fasiq dan bid’ah. Dia menepati ciri – ciri berikut ;
- Muslim.
- Baligh.
- Berakal.
- Tidak fasiq iaitu tidak melakukan dosa besar atau berterusan dalam melakukan dosa kecil.
- Menjaga maruah seperti tidak bergaul dengan orang-orang yang rendah maruahnya, tidak keterlaluan dalam bergurau senda dan tidak membuang air kecil di tepi jalan.
c. Perawinya bersifat dhabit iaitu orang yang tepat hafazannya, selamat dari kesalahan atau ragu-ragu dan berkemampuan untuk menghadirkan apa yang dihafalnya apabila diminta pada bila – bila masa. Dhabit terbahagi kepada dua iaitu Dhābit Sodri dan Dhābit.
Dhābit Sodri – Perawi yang menghafaz apa yang didengarnya dan mampu untuk memberitahu apa yang didengar dan dihafalnya sebagaimana dia mendengarnya pada bila-bila masa.
Dhābit Kitabi – Perawi yang benar-benar menjaga catatannya daripada hilang, dicuri, diubah atau diseleweng bermula dari saat dia mencatatnya sehinggalah dia diminta untuk mengemukakan catatannya.
d. Terselamat daripada syaz iaitu tidak bertentangan dengan riwayat lain yang diriwayatkan oleh perawi yang lebih thiqah. Hadith syaz ialah hadith yang diriwayatkan oleh perawi yang thiqah tetapi bertentangan dengan hadith lain yang diriwayatkan oleh perawi yang lebih thiqah atau lebih ramai, dan tidak dikumpulkan.
e. Terselamat daripada kecacatan iaitu sebarang kecacatan yang boleh menghalang sesebuah hadith itu daripada mencapai darjat sahih seperti hadith yang terkandung dalam sanadnya seorang yang fasiq.
Pembahagian Hadis Sahih:-
1. Hadith Sahih Li Zaatihi:
Iaitu Hadis yang bersambung sanadnya melalui pembawakan orang yang kuat hafalan dan adil serta meriwayatkan daripada orang yang kuat hafalan dan adil sehinggalah ke akhirnya tanpa terdapat syuzuz iaitu keganjilan dan tanpa ada illat iaitu kecacatan.
2. Sahih Li Ghairihi atau dinamakan juga Hasan Li Zaatihi
Apabila ianya diriwayatkan melalui satu atau beberapa cara yang lain maka ianya dibantu oleh suatu kekuatan pada dua bentuk:
Pertama: Riwayatnya adalah melalui perawi-perawi yang masyhur dengan kebenaran dan penjagaan rahsia sekalipun berkurangan kekuatan hafalan mereka ataupun tidak mencapai taraf ahli Hafaz yang mahir dari kalangan perawi-perawi Hadis Sahih.
Kedua: Riwayatnya adalah melalui cara yg lain di mana dgn cara ini diperolehi satu kekuatan yg dapat menggantikan apa yg hilang pada kesempurnaan kekuatan hafalan dan dapat menaikkan taraf dari taraf Hasan kpd taraf Sahih, cuma ianya bukan Li Zaatihi, bahkan ianya dianggap Li Ghairihi.
Hukum beramal dengan hadith sahih.
1- Hadis tersebut adalah sahih dan wajib membuat hukum dengannya apabila terdapat di dlm kedua-dua kitab sahih Bukhari dan Muslim, sebagaimana pendapat yang dipilih oleh Ibnu Solah serta menetapkan kesahihannya.
2- Wajib beramal dengan setiap Hadis sekalipun tidak dikeluarkan oleh Bukhari dan Muslim, sebagaimana pendapat Ibnu Hajar di dalam huraian kitab An-Nakhbah.
3- Hendaklah diterima kesahihannya sekalipun tiada yang beramal dengannya, sebagaimana pendapat Al-Qasimi di dalam kitab kaedah-kaedah meriwayatkan Hadis, iaitu Qawaid At-Tahdis.
4- Tidak terhalang untuk beramal selepas menerima Hadis yang sahih jika diketahui tidak terdapat hukum yg membatalkan atau tiada perselisihan jumhur ulama atau tiada pertembungan, bahkan hendaklah beramal dengannya sehinggalah terdapat suatu ayat Al-Qur'an Atau Hadis yang melarang, maka hendaklah diperhatikan padanya terlebih dahulu.
5- Tidak akan mencacatkan kesahihan sesebuah Hadis walaupun hanya terdapat seorang sahaja dari kalangan sahabat yg meriwayatkannya. Ini adalah diambil daripada kata-kata Ibnu Al-Qayyim di dalam kitab (Ighathah Al-Lahfan).
6- Tidak semua Hadis yang sahih diceritakan kepada org awam. Dalilnya ialah: Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Muaz dan antaranya (Tidak ada seseorang yang mengucapkan kalimah syahadah bahawa tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad s.a.w adalah pesuruh Allah akan memasuki neraka kerana Allah mengharamkan Neraka kepadanya). Sehubungan dengan itu Muaz berkata: Wahai Rasulullah! Apakah aku boleh menyampaikannya kepada org ramai agar mereka dapat bergembira? Rasulullah s.a.w bersabda: (Kalau begitu mereka akan hanya berserah tanpa berusaha). Tetapi Muaz menyampaikannya juga selepas kewafatan baginda.
Kedudukan Hadis Sahih mengikut karangan yang masyhur iaitu tujuh kedudukan:
1- Hadis yang telah disepakati kesahihannya oleh Syaikhan iaitu Imam Bukhari dan Imam Muslim (Muttafaqun 'alaihi).
2- Hadis yang hanya diriwayatkan oleh Imam Bukhari.
3- Hadis yang hanya diriwayatkan oleh Imam Muslim.
4- Hadis yang menepati syarat Imam Bukhari dan Imam Muslim walaupun mereka berdua tidak meriwayatkan di dalam Sahih masing-masing. Imam Nawawi berkata: (Pendapat mereka bermaksud: Untuk memastikan Hadis Sahih kita mestilah berpandukan kepada syarat imam Bukhari dan Muslim secara mengenal pasti bahawa perawi-perawi Hadis tersebut terdapat di dalam kedua-dua kitab mereka (kitab sahih Imam Bukhari dan Imam Muslim) kerana mereka berdua tidak meletakkan syarat di dalam kitab masing-masing begitu juga di dalam kitab-kitab yg lain).
5- Hadis yang menepati syarat Imam Bukhari tetapi beliau tidak meriwayatkannya di dalam kitab sahih.
6- Hadis yg menepati syarat Imam Muslim tetapi beliau tidak meriwayatkannya di dlm kitab sahih.
7- Hadis yang dianggap sahih oleh ulama-ulama selain daripada keduanya tetapi tidak menepati syarat salah seorang daripada mereka.
By Shah El Anuar Al-Jauhary
DPI Sem 3 MARSAH