Wednesday, January 27, 2010

BERZANJI


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Berzanji atau Barzanji ialah suatu doa-doa, puji-pujian dan penceritaan riwayat Nabi Muhammad s.a.w. yang dilafazkan dengan suatu irama atau nada yang biasa dibacakan ketika majlis aqiqah, khatan, perkahwinan dan Maulidur Rasul. Isi berzanji menceritakan tentang kehidupan Nabi Muhammad, yang disebutkan secara berturutan mengenai salasilah keturunannya, zaman kanak-kanak, remaja, pemuda sehingga diangkat menjadi rasul. Di dalamnya juga mengisahkan sifat-sifat mulia yang dimiliki Nabi Muhammad, serta pelbagai peristiwa untuk dijadikan teladan umat manusia.


Nama Berzanji diambil dari nama pengarangnya yaitu Syekh Ja'far al-Barzanji bin Husin bin Abdul Karim. Beliau lahir di Madinah pada tahun 1690 dan meninggal dunia pada tahun 1766. Barzanji berasal dari nama sebuah tempat di Kurdistan, Barzinj. Karya tersebut sebenarnya berjudul 'Iqd al-Jawahir (Bahasa Arab, bererti kalung permata) yang disusun untuk meningkatkan rasa kecintaan kepada Nabi Muhammad saw, meskipun kini nama penulisnya yang lebih dikenali.

Pembacaan Berzanji pada umumnya dilakukan di majlis-majlis dengan niat untuk mendapat keberkatan. Misalnya pada waktu kelahiran bayi, mencukur rambut bayi (aqiqah), acara khatan, perkahwinan dan sebagainya. Di masjid-masjid perkampungan, biasanya jemaah duduk secara bersila. Bacaan Berzanji dialunkan secara bergilir seorang demi seorang sambil disahuti oleh jemaah lain dengan kalimah 'ALLAH'.


Di Malaysia, terdapat juga adat pembacaan Berzanji yang dilakukan secara bersama-sama dengan bayi yang baru lahir dicukur rambutnya dalam bulatan oleh Imam dan ahli keluarga terdekat. Sementara baju atau kain orang-orang yang sudah memegang bayi tersebut, kemudian diberi titisan minyak wangi.


Dewasa ini, bacaan berzanji semakin berkurangan walaupun Buku Berzanji masih mudah didapati.Yang masih kekal hanyalah dikampung-kampung itu pun hanya orang lama sahaja yang tahu membacanya. Orang muda pula macam-macam katanya hinggakan ada yang mengatakan membaca berzanji itu syirik, Nauzubillah, kalau tak tahu dan tak nak baca senyap-senyap sudah lah ini siap kata macam-macam lagi pulak.


Amalan atau kita boleh panggil sebagai budaya yang baik ini harus dikekalkan kerana ia sangat unik dan mengingatkan kita kepada sirah Baginda Junjungan Nabi Muhammad S.A.W..


Alhamdulillah , kita di Negeri Johor ini masih mengekalkannya dan mebuat usaha untuk mengekalkannya dengan adanya matapelajaran Berzanji di Sekolah Agama. Sekolah Agama Negeri lain tak ada yea. Ini adalah satu usaha yang baik agar Berzanji tidak dilupakan dan akan menjadi tradisi amalan yang baik.


Kami pelajar MARSAH dalam kursus pendidikan yang mengambil subjek GERKO diwajibkan untuk mengambil aktiviti berzanji , marhaban dan nasyid bagi memahirkan diri dan ada ilmu tentang perkara yang berkenaan agar mudah apabila kami keluar nanti akan dapar meneruskan usaha yang baik dengan menghidupkan budaya Berzanji. Jadi pada hari semalam kami yang telah diberikan beberapa kumpulan telah membuat persembahan Berzanji , marhaban dan nasyid. Alhamdulillah kesemuanya telah dapat menghayati apa yang telah diajarkan oleh Al-Fadhil Ustaz Noh dan masing - masing berjaya membuat persembahan yang terbaik.


Kalau dahulu Berzanji popular dengan lagu Sikah , Rast dan Raghbi tetapi kini ia lebih berkembang lagi dengan ada jawab lagu-lagu tersebut seperti Maya dan Hijaz. Melihatkan perkembangan ini seharusnya ada pihak-pihak yang bertanggungjawab sepatutnya memberi maklumat kepada orang-orang muda yang sepatutnya menjadi pelapis kepada perkara yang baik ini.


Saya mengharapkan agar Berzanji ini akan terus berkekalan sampai bila-bila dengan diwariskan dengan cara yang terbaik.


Sekitar Persembahan Berzanji, Marhaban dan Nasyid GERKO DPI Sem 2













1 comment:

zedmagel said...

Salam Bro Syahputra,

Tentu lunak alunan suara pembaca berjanzi tu...terutamnya gambar pertama..He..he..