OHOR BAHARU 31 Julai — Pemimpin UMNO tidak sepatutnya menyekat mana-mana anggota parti di peringkat cawangan daripada menyuarakan pandangan mereka mengenai pucuk pimpinan parti dan negara, kata Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, anggota parti di peringkat cawangan berhak mengikut Perlembagaan UMNO mengeluarkan pandangan tentang pucuk pimpinan parti dan pandangan tersebut tidak boleh diperkecilkan oleh mana-mana pihak.
“Mereka (anggota cawangan) rasa agak terlibat untuk menyuarakan hasrat atau perasaan tentang kepimpinan negara. Kita tidak boleh memperkecilkan pandangan ahli-ahli di bawah itu kerana mereka ahli parti dan di dalam Perlembagaan, mereka mempunyai hak untuk bersuara.”
“Kita mengamalkan demokrasi di dalam UMNO, jikalau mereka hendak bersuara kita tidak boleh menghalangnya, nanti mereka kata kita ini kuku besi,” katanya kepada pemberita sebelum menghadiri majlis minum petang dengan anggota-anggota UMNO Johor di sini, hari ini.
Muhyiddin mengulas kenyataan beberapa pemimpin UMNO yang meminta anggota-anggota cawangan berhenti daripada mencalonkan nama-nama pemimpin untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan beberapa pemimpin parti meminta cawangan menghentikan usul mencadangkan pemimpin sebagai calon pada pemilihan UMNO Disember ini.
Pencalonan pemimpin-pemimpin itu hanya dilakukan di peringkat Bahagian, kata mereka.
Menurut Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), walaupun calon-calon yang akan bertanding pada Perhimpunan Agung UMNO Disember ini akan ditentukan oleh UMNO Bahagian, tetapi pandangan daripada anggota cawangan tidak boleh diketepikan.
“Soal sama ada ia (pencalonan oleh anggota cawangan) itu akan di ambil berat oleh peringkat Bahagian atau nama-nama yang dicalon (oleh cawangan), itu adalah soal yang lain.”
“Mereka merasakan ada sesuatu yang luar biasa dan jika mereka hendak memberi pandangan, biarkanlah,” katanya.
Apa yang lebih penting kata Muhyiddin, adalah pandangan dan hasrat anggota parti di peringkat cawangan itu tidak diperkecil dan disekat.
Menurutnya, pemimpin-pemimpin UMNO tidak seharusnya memperkecil-kecilkan anggota di peringkat cawangan kerana ramai di antara mereka merupakan pakar-pakar dalam pelbagai bidang dan berpengetahuan tinggi.
“Saya juga merupakan anggota UMNO di peringkat cawangan, walaupun saya Naib Presiden UMNO,” katanya. – Bernama (Utusan On-line 31 Julai 2008, 7:06pm)
No comments:
Post a Comment