Sunday, August 17, 2008

PEMUDA PEWARIS KEPIMPINAN NEGARA

8 Mac 2008 Barisan Nasional dikejutkan dengan tsunami penolakan yang amat nyata dengan kekalahan dan rekod terburuk BN. Pengundi di saluran 3 dan 4 yang merupakan golongan muda jelas tidak menyebelahi kita apabila majoritinya telah memberikan undi mereka kepada pembangkang.

Itu fenomena PRU 12 (tahun 2008). Cuba kita bayangkan menjelang PRU13 nanti jika trend ini berterusan, sekiranya golongan muda yang mengundi pembangkang ini meneruskan penolakkan mereka dan akan ditambah pula dengan kira-kira 4 juta pengundi baru yang akan mula mengundi pada PRU 13 nanti. Mampukah BN mengekalkan kemenangan tipis ini sedangkan PRU 12 menyaksikan BN hanya memenangi 52% undi popular iaitu hanya berkelebihan 2% sahaja. Faktor itulah yang perlu dipandang serius oleh semua ahli UMNO terutama pemuda.

Daripada situasi di atas, Faktor Pemuda harus dipandang serius oleh ahli UMNO. Hakikat yang yang perlu disedari adalah golongan muda akan menjadi penentu dalam PRU akan datang. Oleh yang demikian, Pemilihan Pemuda kali ini juga sebenarnya amat penting sebagai memenuhi aspirasi rakyat bagi memacu UMNO menghadapi suatu pilihan raya hidup mati UMNO pada 2012/2013 nanti. Pemuda perlu dibarisi oleh pemimpin-pemimpin yang boleh diterima dan mampu menarik golongan pemuda di peringkat akar umbi untuk mendekati UMNO.

Dikala Persidangan Pemuda di peringkat cawangan sedang rancak berlangsung banyak ucapan-ucapan yang kita dengar berkaitan kepincangan pemerintahan pembangkang di negeri-negeri yang mereka tadbir. Kesan daripada kekalahan PRU12 banyak dibincangkan tetapi sebab-sebab kekalahan PRU12 itu sendiri terus ditinggalkan termasuklah faktor KJ yang menjadi tajuk perbualan hangat selepas PRU12 lalu. Keadaan UMNO yang semakin tenat terus dilupa. Akibatnya pemilihan dan pencalonan di peringkat pemuda menjadi kurang fokus terhadap usaha memulihkan UMNO sebaliknya menjadi medan mengejar jawatan.

Di sesetengah bahagian, persaingan dalam mendapatkan pencalonan Pemuda berlaku begitu sengit sekali. Persoalannya ialah adakah pencalonan ini dilakukan atas dasar kredibiliti dan aspirasi yang akan dibawa oleh calon atau pun semata-mata atas pengaruh lain seperti kasihan, kenalan atau percaturan politik menggunakan kuasa wang?. Mampukah Pemuda menolak pengaruh wang dalam memberikan pencalonan serta undi mereka? Adakah pemuda benar-benar sedar dengan ketenatan UMNO hari ini dan faham bahawa pencalonan dan pemilihan kali ini begitu penting demi survival UMNO yang akan datang?.

Mungkin ada yang beranggapan bahawa sebagai ahli UMNO biasa mereka tiada kuasa dalam menentukan pemimpin di peringkat tertinggi, malah ada yang langsung tidak memikirkannya dalam mencalonkan Ketua Pemuda Bahagian Dan Wakil Ke Pusat (G2). Itu merupakan suatu kesilapan yang besar. Dikala UMNO tidak lagi boleh mengharapkan pemimpin di peringkat atasan untuk membawa aspirasi rakyat, kuasa ahli-ahli UMNO akar umbi menjadi amat penting.

Ahli UMNO seharusnya kenal pemimpin yang akan mereka pilih di peringkat bahagian. Mereka harus tahu siapa pemimpin di peringkat pusat yang mahu mereka dokong atau calonkan nanti. Begitu juga bagi calon G2. Walaupun undi di peringkat pusat itu rahsia sekurang-kurangnya ahli di peringkat cawangan perlu tahu siapa pemimpin yang mungkin akan dipilih. Jangan nanti perwakilan mereka pulang dari PWTC dengan wang beribu-ribu sedangkan pemimpin yang kita kasihi kecundang begitu saja dan pemimpin ala samseng terus bermaharaja lela di singgah sana.

Kesedaran ini amat penting. Susur galur pemimpin di peringkat cawangan, bahagian dan pusat harus dikenal pasti sebelum pencalonan dan pemilihan dilakukan terutama jawatan Ketua pemuda bahagian dan wakil G2. Janganlah hanya kerana RM 50 atau RM 100 kita rela menggadaikan maruah diri yang akhirnya menghapuskan UMNO selepas PRU 13 nanti.

Percayalah penentu Ketua Pemuda Malaysia antara Mukhriz, Khir Toyo dan KJ adalah di tangan semua ahli pemuda UMNO. Sama-sama kita memilih calon ketua pemuda bahagian dan perwakilan G2 yang betul agar aspirasi rakyat boleh dibawa bersama hingga ke puncak. Itu adalah perjuangan yang harus dilakukan sebagai usaha mempertahankan UMNO demi agama, bangsa dan negara. Tolak calon yang jelas dibenci oleh rakyat dan sokong calon yang membawa aspirasi rakyat, nescaya dengan itu golongan muda akan kembali menyokong UMNO. Jangan nanti kita salahkan pengundi kerana tidak mengundi UMNO dan BN sedangkan tangan kita sendiri yang melakukan kesilapan itu. Fikirkanlah.

No comments: